26 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan PKR untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang bukan kerana tunduk kepada tekanan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sebaliknya, beliau menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha membina kerjasama politik dengan gabungan berkenaan.
“Ia kerjasama dan bukan tunduk,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030, hari ini.
Kenyataan itu sebagai respons terhadap dakwaan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyifatkan keputusan PKR Sarawak untuk tidak meletakkan calon pada PRN akan datang sebagai tindakan Presiden PKR itu mengalah kepada ancaman GPS.
Chong turut mengaitkan pendirian itu dengan keperluan Anwar mengekalkan sokongan GPS bagi memastikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal, terutama sekiranya Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut mempersoalkan hasrat parti yang mendapat manfaat daripada sokongan gabungan itu untuk membentuk kerajaan Persekutuan, tetapi pada masa sama mahu bersaing dengan GPS dalam pilihan raya negeri.