14 OKT : Penemuan rangka manusia dalam dua karung guni di lokasi berasingan pada Julai dan Ogos lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki etnik Rohingya yang kini direman bagi membantu siasatan kes bunuh.
Lelaki berusia 38 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan selepas permohonan polis dibenarkan Majistret Nurul Natasha Rizal di Mahkamah Kangar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari Isnin di sebuah rumah di Kampung Behor Rotan Pahit, Sungai Berembang, Kuala Perlis.
Suspek yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas siasatan setakat ini, Yusharifuddin berkata, lelaki itu belum membuat sebarang pengakuan berkaitan kes berkenaan.
“Setakat ini, tiada sebarang pengakuan diperoleh. Subjek menyatakan bahawa beliau hanya mengetahui tentang kejadian tersebut melalui kumpulan WhatsApp sahaja.
“Subjek juga merupakan seorang pekerja kontrak dan pernah bekerja di kawasan Sungai Limau dan Kota Sarang Semut sejak dua bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit Oppo Reno8 5G berwarna perak dan biru serta sekeping kad SIM redONE bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, polis dilaporkan sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Mohd Ilyas Mohd Islam bagi membantu siasatan kes berkenaan pada 29 September lalu.
Kes itu mula mendapat perhatian selepas rangka manusia ditemukan dalam karung guni yang sudah reput di sebuah kebun bertentangan kilang beras di Kampung Behor Mali pada 26 Julai lalu.
Penemuan pertama itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Namun, misteri kes berkenaan semakin meruncing apabila satu lagi karung guni putih berisi sisa tulang manusia ditemukan pada 5 Ogos lalu di kawasan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kira-kira 31.1 meter dari lokasi pertama.
Susulan penemuan kedua itu, polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai kes bunuh.