15 OKT : Perbincangan mengenai agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dibuat di meja rundingan, bukannya diheret ke media sosial hingga mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata pendekatan itu penting bagi mengelakkan pertindihan tuntutan kerusi antara parti yang mempunyai persefahaman politik.
“Bagi saya, konsep penyatuan ummah ini adalah musyawarah. Kita berbincang dan melihat kedudukan masing-masing sebelum membuat sebarang kenyataan, namun perbincangan melalui media sosial perlu dielakkan sebagai usaha mengelakkan persepsi negatif timbul dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Rais berkata, mana-mana parti tidak seharusnya menganggap kerusi yang pernah dimenangi sebagai hak mutlak untuk dipertahankan pada PRN akan datang.
Sebaliknya, katanya, keputusan untuk meletakkan calon perlu mengambil kira pandangan kepemimpinan parti masing-masing, kekuatan jentera serta penerimaan pengundi di kawasan terbabit.
Beliau mengulas kenyataan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang kini menyertai Parti Wawasan Negara (WAWASAN), berhubung hak Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Melaka.
Mohd Aleef dilaporkan meminta Rais menghormati hak PN untuk mempertahankan kerusi itu, selain tidak mencetuskan pertindihan tuntutan yang boleh menjejaskan penyatuan politik antara gabungan parti yang diwakilinya dengan Barisan Nasional (BN).
Mengulas peluang bertanding di Sungai Udang, Rais berkata, beliau akur dengan keputusan kepemimpinan parti dan bersedia bertanding sekiranya dicalonkan bagi merampas semula kerusi itu daripada pembangkang.
“Kalau parti memang sudah mengesah dan menentukan saya bertanding di situ, watikahnya keluar untuk saya bertanding di Sungai Udang, inilah tempat yang saya akan rampas kembali untuk BN,” katanya.
Rais berkata, beliau sudah menjalankan tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN Sungai Udang sejak kira-kira tiga tahun lalu dengan memberi tumpuan kepada pembangunan setempat dan kebajikan penduduk, termasuk anggota tentera.
Katanya, kawasan itu mempunyai hampir 20,000 pengundi, termasuk kira-kira 9,500 anggota tentera serta pasangan mereka yang turut menerima perhatian menerusi pelbagai inisiatif kerajaan negeri.
Beliau berkata, antara usaha dilaksanakan termasuk penganjuran Karnival Dua Jiwa Satu Hati setiap tahun, selain membantu menangani masalah infrastruktur seperti gangguan bekalan air dan kerosakan jalan.
Sehubungan itu, Rais mengingatkan semua pihak supaya tidak mendabik dada atau membuat tuntutan seolah-olah sesebuah kerusi menjadi milik mutlak mereka.
“Justeru, saya menasihatkan diri saya serta pihak yang berkenaan supaya tidak ‘meninggi diri’ dan menuntut hak kononnya sesebuah kerusi itu milik kita.
“Kalau kita tak dapat, kita salahkan pihak lain dengan mendakwa tiada penyatuan ummah atau penyatuan Melayu sedangkan jalan penyelesaiannya adalah musyawarah dan berbincang,” katanya.