17 OKT : Universiti Malaya (UM) mengesahkan tiada tindakan tatatertib dikenakan terhadap mahasiswa yang tular selepas menyuarakan pandangan mengenai isu rasuah dan kutipan derma untuk membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman berkata universiti itu menghormati hak mahasiswa untuk mengemukakan soalan serta menyuarakan pandangan termasuk dalam perkara yang mendapat perhatian masyarakat.
“Saya mengambil maklum mengenai perhatian dan pelbagai reaksi yang timbul susulan perkara itu.
“Saya ingin menjelaskan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap mahasiswa berkenaan.
“Sehubungan itu, dakwaan yang tersebar mengenai perkara ini adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Beliau berkata, platform Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE 2026) yang diwujudkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berperanan sebagai ruang dialog secara langsung antara mahasiswa dengan kepemimpinan universiti.
Sebelum ini, klip video memaparkan seorang mahasiswa UM menyuarakan pandangan secara terbuka dalam sesi forum tersebut yang mencetuskan perhatian ramai di media sosial.
Dalam video berkenaan, mahasiswa itu membangkitkan isu berkaitan skandal Lembaga Tabung Haji serta kutipan derma bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta.
Wanita itu turut meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah, selain mempersoalkan pendirian yang perlu diambil bakal pemimpin negara dalam menangani isu berkenaan.
Perkongsian video itu kemudian mengundang pelbagai reaksi, termasuk dakwaan mengenai kemungkinan tindakan tatatertib terhadap mahasiswa terbabit.
Mengulas lanjut, Noor Azuan menegaskan perbezaan pandangan tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, malah menjadi sebahagian daripada budaya intelektual yang perlu diperkukuh dalam persekitaran universiti.
“Kita mungkin tidak sentiasa bersetuju dalam semua perkara, namun mahasiswa perlu diberikan ruang untuk bersuara dan didengari.
“UM akan terus komited untuk menjadi gedung ilmu terunggul yang melahirkan bakat terbaik negara di samping, membentuk sahsiah dan watak mahasiswa yang berfikiran kritis, berprinsip serta bertanggungjawab,” katanya.
Tabung Solidariti Najib Razak dilancarkan Ibu Pejabat UMNO pada 18 September lalu bagi membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan denda RM50 juta susulan pengampunan bersyarat diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Inisiatif kutipan dana itu digerakkan UMNO susulan cadangan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi namun, peguam Najib sebelum ini menjelaskan bekas Perdana Menteri itu tidak pernah meminta sumbangan orang awam bagi membayar denda berkenaan.