17 OKT : Kampung Pulau di Masjid Tanah, Melaka bakal mencipta sejarah apabila dipilih sebagai lokasi pembinaan kompleks Balai Islam yang menggabungkan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Ia sekali gus membuka peluang kepada kampung itu menjadi mercu tanda baharu kerjasama Islam di rantau ASEAN.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata cadangan pembinaan kompleks berkenaan sudah mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kompleks berkenaan dirancang menempatkan masjid baharu, sekolah agama dan sekolah tahfiz bagi menyediakan kemudahan ibadah serta pendidikan Islam untuk generasi akan datang.
“Insya-Allah, Balai Islam pertama yang lengkap dengan sekolah agama, masjid baharu dan sekolah tahfiz akan berada di bumi Kampung Pulau, Masjid Tanah, untuk kita semua dan anak cucu kita pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Anak-Anak Kampung Pulau Teq dan Seri Jeram Tahun 2026 di Dewan Terbuka Kampung Pulau, hari ini.
Menurut Ab Rauf, pemilihan Kampung Pulau turut berkait dengan peranan Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN apabila kampung itu dimaklumkan sebagai lokasi pertemuan pertama Menteri-Menteri Agama ASEAN.
Katanya, perkembangan itu meletakkan Kampung Pulau dalam perhatian di peringkat serantau, selain membuka peluang kepada pembangunan institusi Islam yang mampu memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Bagi membantu merealisasikan projek berkenaan, beliau mengumumkan sumbangan RM200,000 kepada tabung pembinaan kompleks Balai Islam Kampung Pulau.
Beliau turut menyeru anak jati Kampung Pulau yang berjaya dalam bidang perniagaan, politik dan korporat supaya turut menyumbang bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan.
“Bayangkan, masjid kita hari ini sudah berusia lebih 100 tahun. Jika kita membina sebuah kompleks yang dapat dimanfaatkan sehingga 100 tahun akan datang, ia menjadi amal jariah yang manfaatnya dapat diwarisi oleh generasi seterusnya.
“Saya menyeru anak-anak Kampung Pulau yang berjaya dalam apa juga bidang supaya menyumbang kepada tabung ini agar Balai Islam Kampung Pulau menjadi kenyataan,” katanya.
Ab Rauf berkata, pembinaan kompleks itu bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah menjadi amanah untuk memastikan masyarakat mempunyai akses kepada prasarana pendidikan agama dan ibadah yang dapat dimanfaatkan dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus memelihara hubungan silaturahim walaupun berbeza pandangan dan fahaman politik.
Katanya, perbezaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama dalam membangunkan kampung, khususnya bagi menjayakan projek yang bakal memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Walaupun kita mungkin mempunyai perbezaan fahaman politik, ia tidak sepatutnya menjejaskan silaturahim. Persahabatan dan hubungan sesama kita tidak ternilai dengan wang ringgit atau harta benda.
“Amanah yang saya pikul sebagai pemimpin bukan hanya untuk orang Masjid Tanah atau Kampung Pulau, tetapi untuk seluruh rakyat Melaka,” katanya.
