17 OKT : Barisan Nasional (BN) menyasarkan kemenangan di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi membantu gabungan itu membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, persiapan jentera di semua kawasan berkenaan sedang diperkukuh bagi memastikan parti bersedia menghadapi persaingan pada PRN nanti.
“Insya-Allah saya yakin dan percaya baik Sungai Udang, Paya Rumput, kami semua…yang paling penting nak pastikan seluruh Parlimen Tangga Batu ini kita boleh menang dan kita akan tawan empat kerusi kepada pembentukan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Tangga Batu yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, malam ini.
Majlis itu menghimpunkan lebih 1,000 orang, termasuk jentera daripada keempat-empat DUN berkenaan, walaupun berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai.
Menurutnya, persiapan turut memberi perhatian kepada DUN Paya Rumput yang mempunyai 25 cawangan UMNO, selain memastikan jentera di Sungai Udang, Klebang dan Pantai Kundor turut bersiap sedia.
Tangga Batu menjadi Parlimen pertama di Melaka yang melancarkan jentera BN bagi menghadapi PRN negeri itu.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid yang merupakan negeri angkat kepada Parlimen itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.
Ab Rauf memaklumkan pada program itu, pengumuman calon akan dibuat 28 Oktober ini.
