19 OKT : Keadaan jerebu di Indonesia semakin buruk susulan susulan kebakaran hutan dan tanah yang masih belum mereda sejak Ogos lalu.
Kini, perjalanan ribuan penumpang di Indonesia terganggu di mana sebanyak 2,458 penerbangan domestik terjejas
Keadaan itu semakin membimbangkan apabila jumlah titik panas kebakaran di seluruh negara melonjak lebih empat kali ganda kepada 1,104 pada Ahad dengan wilayah Kalimantan menjadi antara kawasan paling teruk terjejas.
Kementerian Kehutanan Indonesia memaklumkan jumlah titik panas meningkat daripada 270 pada Sabtu, dengan Kalimantan Tengah mencatatkan lonjakan tertinggi kepada 495 berbanding 92 sehari sebelumnya.
Kalimantan Barat turut merekodkan peningkatan ketara kepada 174 titik panas berbanding hanya 22 pada hari sebelumnya, meskipun operasi pemadaman kebakaran terus dijalankan.
Kualiti udara di sebahagian besar Kalimantan Tengah dilaporkan berada pada tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya. Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Timur pula mencatatkan bacaan tidak sihat hingga sangat tidak sihat.
Bagi membendung keadaan, sebanyak 61 pesawat dikerahkan di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat, termasuk 44 pesawat untuk operasi pengeboman air serta 17 lagi bagi rondaan udara dan operasi modifikasi cuaca.
“Pasukan gabungan terus menangani kebakaran hutan dan tanah menerusi operasi pemadaman di darat, water bombing, rondaan udara serta langkah pencegahan dan kawalan di kawasan keutamaan,” menurut kementerian itu.
Selain Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat, lima puluh satu titik panas turut dikesan di Sumatera Selatan pada Ahad berbanding sembilan sehari sebelumnya, manakala Kalimantan Selatan merekodkan 19 titik panas berbanding dua. Jambi pula mencatatkan sembilan titik panas selepas tiada dikesan pada Sabtu, sementara Riau kekal tanpa titik panas.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan sebanyak 2,458 penerbangan domestik berjadual terjejas antara 11 Ogos hingga 17 Oktober lalu akibat jerebu yang mengurangkan jarak penglihatan di beberapa kawasan.
Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Lukman F Laisa berkata, gangguan itu merangkumi 1,080 penerbangan yang mengalami kelewatan, manakala 1,324 lagi dibatalkan atau ditangguhkan.
Sebanyak 22 penerbangan terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain, enam berpatah balik ke lapangan terbang berlepas dan 26 penerbangan dijadualkan semula untuk berlepas lebih awal.