Surat boleh jawab sehari tapi ambil masa 2 minggu-Anwar
19 OKT : Kelewatan urusan yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam sehari tetapi berlarutan sehingga dua minggu tidak seharusnya berlaku dalam jentera kerajaan.
Perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini.
Beliau mengingatkan penjawat awam supaya melaksanakan dasar kerajaan dengan pantas dan penuh amanah, terutama ketika pelbagai langkah sudah diambil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kalau upah dah naik, minyak dah turun dan ekonomi keadaannya menjadi begini, kita tak bersyukur, kerja masih lembab, masih lambat, surat yang boleh dijawab satu hari dah ambil masa dua minggu, itu memang cari penyakitlah.
“Sebab itu tanggungjawab kita dari KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) kepada Ketua Jabatan kepada Pengarah dan Ketua Pengarah harus ingat ini. Setiap kerja (mesti) dilakukan dengan amanah,” katanya.
Dalam pada, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan Belanjawan 2027 tidak boleh diukur berdasarkan perancangan dan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya bergantung pada keupayaan kerajaan memastikan setiap dasar memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, kelemahan pelaksanaan dan kerenah birokrasi boleh menjejaskan keberkesanan usaha kerajaan walaupun perancangan dibuat dengan teliti.
Beliau menegaskan, setiap program perlu dilaksanakan dengan cekap dan dipantau secara berterusan bagi mengelakkan kelewatan, ketirisan serta amalan rasuah yang boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau yakin Malaysia mampu memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sekiranya seluruh jentera kerajaan memberikan komitmen penuh terhadap pelaksanaan dasar secara cekap dan bersungguh-sungguh.
