22 OKT : Bank Negara Malaysia (BNM) memperluaskan kemudahan penangguhan pembayaran balik kepada keluarga mangsa yang terjejas akibat banjir di sepanjang sempadan Nepal-China baru-baru ini.
Menurut BNM, bantuan tambahan turut dipertimbangkan berdasarkan keadaan setiap keluarga, termasuk pengecualian yuran dan caj tertentu, perlindungan aset serta deposit pelanggan dan kemudahan menguruskan tuntutan insurans atau takaful.
Bank pusat itu berkata, sekiranya memerlukan bantuan lanjut dan penjelasan, keluarga terbabit boleh menghubungi institusi kewangan masing-masing.
“Bergantung kepada keadaan khusus membabitkan keluarga yang terjejas, pihak bank dan ITO turut mempertimbangkan bantuan lanjut, seperti pengecualian bagi beberapa yuran dan caj, perlindungan aset dan deposit pelanggan, serta kemudahan urusan tuntutan insurans/takaful.
“Oleh itu, keluarga yang terjejas digalakkan terus berurusan secara langsung dengan bank dan pengendali insurans dan takaful (ITO) masing-masing,” menurut BNM dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, BNM memaklumkan bank serta ITO berkaitan sudah menghubungi keluarga terjejas susulan pertemuan antara bank pusat itu dengan waris mangsa pada 12 Oktober lalu.
BNM bersama industri kewangan menegaskan komitmen untuk menyediakan bantuan dan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa, tertakluk kepada undang-undang serta keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.
BNM turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan pelaksanaan semua langkah bantuan berkenaan.
Setaka ini, seramai 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.