Bubar DUN: Abang Jo adakan sidang media khas petang ini
23 OKT : Pejabat Premier Sarawak mengeluarkan jemputan media bagi satu sidang media khas oleh Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada jam 3.30 petang ini, ketika perhatian tertumpu kepada kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Sidang media itu dijadual berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching sekali gus mencetuskan jangkaan bahawa Premier Sarawak itu akan mengumumkan pembubaran DUN bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.
Spekulasi mengenai pembubaran DUN semakin hangat sejak beberapa hari lalu, susulan berakhirnya persidangan terakhir bagi penggal semasa pada Rabu.
Persidangan berkenaan turut menyaksikan Belanjawan Sarawak 2027 diluluskan.
Penggal DUN Sarawak akan berakhir pada Februari tahun depan.
Pembubaran DUN akan membuka laluan kepada PRN Sarawak ke-13 bagi menentukan mandat baharu untuk kerajaan negeri.
Sebelum ini, penganalisis politik dari University of Tasmania, Prof Dr James Chin dilaporkan berkata pembubaran DUN dijangka berlaku dalam beberapa hari lagi bagi membolehkan PRN diadakan mengikut tempoh yang sesuai.
Beliau berkata, pilihan raya perlu berlangsung pada penghujung November atau awal Disember sekiranya Abang Johari mahu mengelakkan pertembungan dengan sambutan Krismas, Tahun Baharu dan Tahun Baharu Cina pada 6 Februari depan.
Pada PRN Sarawak yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar apabila memperoleh 76 daripada 82 kerusi DUN.
Kedudukan GPS kemudian bertambah kukuh kepada 80 kerusi selepas tiga ADUN Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu parti komponennya, susulan pembubaran PSB pada 2024.
ADUN Batu Lintang, See Chee How, yang keluar daripada PSB pada 2022, turut menjadi wakil rakyat Bebas yang cenderung menyokong GPS.
Baki dua kerusi DUN ketika ini disandang wakil DAP.
Sementara itu, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi mewujudkan 17 kerusi DUN baharu sedang berjalan, namun dijangka tidak dapat diselesaikan sebelum PRN akan datang.