23 OKT : Barisan Nasional (BN) dan PAS bakal mengumumkan calon masing-masing bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di pentas sama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Sabtu ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata agihan kerusi sudah dimuktamadkan seperti dipersetujui membabitkan 21 calon BN dan tujuh calon PAS dengan rakan strategiknya.
“Insya-ALLAH di pentas sama dan di dewan yang sama kita akan umumkan 21 kerusi ditandingi BN, mereka akan umumkan tujuh kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi PRN Melaka ke-16 di MITC, malam tadi.
Kelmarin, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menamatkan teka-teki dengan mengesahkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid mengesahkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN negeri bagi menggantikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, pelantikan itu dibuat berikutan komitmen rasmi Mohamad di luar negara sepanjang tempoh kempen PRN Melaka.
“Tok Mat mempunyai komitmen rasmi di luar negara sepanjang tempoh kempen PRN Melaka, termasuk menghadiri mesyuarat negara-negara Komanwel, mesyuarat serantau dan Sidang Kemuncak ASEAN.
“Jadi, saya mengesahkan tadi…surat sudah diperakukan dan tidak ada orang lain, beliau (Ab Rauf),” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka melahirkan keyakinan terhadap kekuatan jentera dan kerja keras seluruh keluarga besar gabungan itu.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka ke-16.
“Amanah ini bukan kecil. Cabarannya besar tetapi saya yakin, dengan kesatuan hati, kekuatan jentera dan kerja keras seluruh keluarga besar BN, kita mampu melangkah dengan penuh keyakinan.
“Kita bukan sekadar mahu bertanding. Kita turun ke gelanggang PRN Melaka ini untuk menang dan terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.
