23 OKT : Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) diseru untuk bekerjasama dengan PAS tanpa prasangka dalam usaha memenangi Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, semua jentera perlu menerima keputusan kerjasama yang dipersetujui pucuk pimpinan parti dengan hati terbuka.
“Kerja bersama PAS. Saya melihat bahawa keputusan sudah dibuat dan saya menyeru kepada semua jentera supaya gerak kerja bersama dengan gerak kerja PAS. Ini mesti dilakukan tanpa prasangka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, hari ini.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, PRN Melaka bukan sekadar menentukan masa depan negeri itu, malah menjadi medan penting untuk menguji kekuatan gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
“Ini juga terjemahan untuk menuju ke PRU. Insya-Allah berjaya di Melaka, berjayalah kita ke Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata, kesepaduan BN dan PAS menjadi antara kekuatan penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu.
Bagaimanapun, BN dan PAS mungkin tidak dapat berkongsi pentas Sabtu ini bagi mengumumkan calon masing-masing susulan isu teknikal berkaitan kedudukan Perikatan Nasional (PN) yang masih belum selesai.
Ab Rauf berkata, PAS-PN perlu menyelesaikan terlebih dahulu isu teknikal tersebut berkait keputusan mahkamah dan tindakan terbaharu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Kita tunggu esok (Sabtu) kerana mereka mempunyai satu pandangan teknikal tentang kedudukan PN yang mendapat keputusan penangguhan daripada pihak mahkamah…memandangkan RoS juga hari ini memohon keputusan penangguhan itu duduk di atas penangguhan yang lain, jadi dia (PN) tak boleh menggunakan (logo) PN untuk satu pentas yang sama (PRN).
“Kita kena mengerti, apa pun semangatnya tetap sama, cuma pentasnya mungkin berbeza,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan parti itu akan mengumumkan calon mereka bersama BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), esok.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerjasama BN dengan PAS pada PRN Melaka dan akan bersama-sama mengumumkan calon di MITC.