23 OKT : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka dibubarkan Isnin ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Menurut sumber, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan pembubaran itu, petang ini.
Memetik laporan The Star, sumber memaklumkan persiapan ke arah pembubaran DUN itu kini giat dilakukan dengan semua pihak berkaitan bersiap siaga untuk kemungkinan berkenaan.
“Keadaan semakin hampir. Premier merahsiakan perkara ini dengan rapi. Namun, saya percaya ia mungkin berlaku minggu depan,” kata sumber tersebut.
Penggal DUN Sarawak akan berakhir pada Februari tahun depan.
Sementara, Penganalisis politik dari University of Tasmania, Prof Dr James Chin berkata pembubaran DUN dijangka berlaku dalam beberapa hari lagi bagi membolehkan PRN diadakan mengikut tempoh yang sesuai.
Beliau berkata, pilihan raya perlu berlangsung pada penghujung November atau awal Disember sekiranya Abang Johari mahu mengelakkan pertembungan dengan sambutan Krismas, Tahun Baharu dan Tahun Baharu Cina pada 6 Februari depan.
“Jadi, tempoh yang ada mungkin hanya penghujung November dan separuh pertama Disember.
“Ia tidak boleh diadakan lebih awal daripada pertengahan November kerana PRN Melaka,” katanya.
Pada PRN Sarawak yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar apabila memperoleh 76 daripada 82 kerusi DUN.
Kedudukan GPS kemudian bertambah kukuh kepada 80 kerusi selepas tiga ADUN Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu parti komponennya, susulan pembubaran PSB pada 2024.
ADUN Batu Lintang, See Chee How, yang keluar daripada PSB pada 2022, turut menjadi wakil rakyat Bebas yang cenderung menyokong GPS.
Baki dua kerusi DUN ketika ini disandang wakil DAP.
Sementara itu, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi mewujudkan 17 kerusi DUN baharu sedang berjalan, namun dijangka tidak dapat diselesaikan sebelum PRN akan datang.