25 OKT : Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PAS yang dijalin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diyakini mampu mencerahkan laluan ke Putrajaya untuk kembali menguasai tampuk kepimpinan negara.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua pihak perlu mengetepikan perbezaan lalu saling menerima dan membantu, termasuk memastikan jentera serta pengundi masing-masing menyokong calon rakan kerjasama dalam pilihan raya.
“Dulu kita alergik melihat warna hijau. Mereka juga alergik melihat warna biru. Mulai dari malam ini, jangan alergik lagi.
“Hijau telah menerima biru, biru mesti menerima hijau. Insya-Allah, jika keserasian ini dapat kita jalinkan, saya yakin terowong ke Putrajaya semakin cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyeru jentera dan pengundi BN agar sama-sama membantu bagi memastikan calon-calon rakan baharu itu menang di kerusi ditandingi pada PRN Melaka, kelak.
“Di mana kita bertanding, di mana calon kita bertanding, insya-Allah pengundi-pengundi mereka akan mengundi dan bekerja untuk calon kita.
“Begitu juga di mana mereka bertanding, jentera dan pengundi-pengundi kita mesti membantu mereka,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mengesahkan kerjasama politik dengan PAS bagi menghadapi PRN di Melaka, 14 November ini.
Namun, beliau menegaskan kerjasama itu tidak bermakna mana-mana pihak perlu menggadaikan prinsip perjuangan masing-masing.
“Tetapi ingat, persefahaman ini bukan lesen untuk kita menggadaikan prinsip yang selama ini telah kita pertahankan,” katanya.
Malam tadi, 21 calon BN diperkenalkan dengan penampilan lapan muka baharu dan pengguguran lapan penyandang termasuk tiga Exco Negeri Melaka iaitu Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek), Datuk Kalsom Noordin (Pengkalan Batu) serta Datuk VP Shanmugam (Gadek).