30 OKT : Empat daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH).
Kawasan tersebutmelibatkan Klebang, Gadek, Ayer Keroh dan Pengkalan Batu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan keyakinan rakyat negeri itu sudah cukup matang untuk membuat perubahan.
“Kita akan menawarkan dasar-dasar parti seperti yang disebut oleh Naib Pengerusi Bersatu, Datuk Mohd Radzi Jidin. Kita parti yang prihatin terhadap rakyat, kita bawa isu ekonomi, isu pertumbuhan dan penjanaan pekerjaan.
“Saya kira rakyat Melaka cukup matang. Mereka pernah mengubah kerajaan pada masa lalu dan kita berharap kali ini mereka juga cukup matang dan adil memberikan peluang kepada Bersatu untuk mewakili mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengumuman Calon Bersatu bagi PRN Melaka di Klebang, malam tadi.
Mengulas pertembungan di kerusi tersebut dan kerjasama yang mungkin terjalin selepas PRN itu, Azmin berkata ia merupakan satu persaingan sihat.
“Dalam konteks pilihan raya, pertindihan itu tentu bermakna parti-parti berkenaan akan bersaing tetapi kita mengambil pendirian persaingan itu adalah persaingan yang sihat dalam sebuah sistem demokrasi.
“Akhirnya, biarlah rakyat yang menentukan siapakah yang perlu mewakili mereka di kawasan tersebut,” katanya.
Beberapa jam sebelum pengumuman calon dibuat Bersatu, enam enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memetrai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI.
Turut memetrai perjanjian itu adalah tujuh ahli Parlimen lain termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata CSA dengan beberapa ahli Parlimen pembangkang itu menjadi asas kepada usaha memperkukuh kestabilan politik negara.
Beliau berkata, perjanjian itu juga penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar, sekali gus membolehkan agenda pembangunan negara termasuk Belanjawan 2027 dilaksanakan demi kepentingan rakyat.