4 NOV : Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib merayu orang ramai agar bersama-sama mendoakan kesihatan ibunya yang kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Menurut Nizar, ibunya, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 65 disahkan berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital swasta di Ampang.
“Dengan penuh rasa rendah hati, saya memohon doa daripada seluruh sahabat handai, saudara-mara dan kenalan agar sama-sama mendoakan kesihatan bonda tercinta, Tengku Puteri Zainah yang kini sedang menerima rawatan di ICU.
“Keadaan bonda masih kritikal. Semoga ALLAH SWT mengangkat segala kesakitan, memberikan kekuatan dan mengurniakan kesembuhan buat bonda.
“Kami sekeluarga amat mengharapkan doa daripada semua. Semoga setiap doa yang dititipkan menjadi asbab rahmat dan pertolongan ALLAH SWT. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya.
Perkongsian sama turut dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut menitipkan doa buat Tengku Puteri Zainah serta seluruh ahli keluarga.
“Kami mendoakan agar ALLAH SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.
“Semoga ALLAH SWT mengangkat segala kesakitan, mempermudahkan urusan rawatan dan mengurniakan kesembuhan yang terbaik buat beliau,” menurut hantaran itu.
Tengku Puteri Zainah dilaporkan sedang menerima rawatan di ICU Aras 1, Hospital Gleneagles Ampang.
Beliau mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan Najib, iaitu Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.