5 NOV: Bagi memastikan Melaka menjadi pusat pengajian TVET utama di negara ini, ianya akan dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.
Abd Rauf berkata, beliau akan mengambil kesempatan ini bagi mengangkat Melaka dalam membekalkan tenaga kerja kepada pelabur yang masuk ke negeri itu.
“Ini akan melengkap kecemerlangan TVET. Bahkan Melaka ada 61 institusi TVET yang dapat membekalkan tenaga mahir dan separa mahir yang diujudkan sejak sekian lama, sudah tentu saya akan masukkan dalam manifesto,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah, hari ini.
Menurut Ab Rauf, ini pastinya akan jadikan Melaka pusat kecemerlangan TVET Malaysia dengan adanya sebuah universiti TVET pertama di negara ini.
Tambahnya, ruang kini terbuka luas kepada anak-anak muda untuk memilih ruang kerjaya mereka sama ada memilih bidang seperti akauntan, jurutera dan bidang-bidang lain yang disediakan termasuk di kolej-kolej MARA.
Ab Rauf berkata, ketika ini ada 500 anak muda sedang diasuh Yayasan MARA menceburi bidang-bidang profesional dan semi profesional termasuk akademik dan TVET.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi BN Melaka, berkata apa juga pandangan daripada pihak lawan ketika kempen PRN, sudah tentu akan memberi pandangan negatif.
“Bagi saya, dalam semangat untuk menang, BN akan selesaikan masalah ini dan pasti akan melepasinya,” katanya mengulas kononnya empat kerusi yang ditandingan BN bermasalah untuk menang.
