10 NOV : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Melvin Chua menggariskan tiga agenda utama yang mahu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Keutamaan itu merangkumi usaha membantu warga emas dan golongan memerlukan, menambah baik kemudahan kesihatan serta memperkukuh keselamatan penduduk.
Melvin yang juga calon nombor dua berkata, antara langkah awal beliau ialah menubuhkan pasukan perkhidmatan bergerak bagi mendekati golongan yang memerlukan bantuan, khususnya warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan.
“Selalunya, mereka yang memerlukan bantuan perlu datang ke pusat perkhidmatan tetapi pendekatan saya berbeza kerana saya akan mencari mereka dan pergi kepada mereka.
“Pasukan ini khususnya untuk warga emas, orang tua dan golongan yang tidak berkemampuan. Kita akan bantu mudahkan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Kota Laksamana di Jalan Hang Tuah.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka, Datuk Gan Tian Loo.
Bagi agenda kedua, bekas Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu berkata, pihaknya akan menyediakan senarai keperluan kemudahan asas yang perlu diberi perhatian termasuk penambahbaikan di Klinik Kesihatan Tengkera.
“Hasil daripada maklum balas diterima terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian untuk itu kita akan cuba bantu ia bukan sahaja untuk keselesaan rakyat tetapi kakitangan yang bertugas juga.
“Usaha penambahbaikan ini juga merangkumi sistem saliran, perparitan dan longkang di kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah serta memerlukan tindakan,” katanya.
Agenda ketiga pula membabitkan usaha mengemukakan permohonan menaik taraf Balai Polis Tengkera serta menambah jumlah anggota bagi meningkatkan tahap keselamatan penduduk.
Menurutnya, balai polis berkenaan difahamkan hanya mempunyai kira-kira 20 anggota untuk menjaga kawasan DUN Kota Laksamana yang mempunyai populasi sekitar 80,000 penduduk.
“Untuk itu saya akan membawa permohonan supaya balai polis dapat dinaik taraf selain dapat menambah bilangan anggota di situ,” katanya.
