10 NOV: Kerajaan Negeri Melaka mempunyai pelbagai kaedah untuk membantu nelayan yang mendakwa terjejas akibat pembinaan Kuala Linggi International Port (KLIP).
Ketua Menteri Datuk Seri Dr Abdul Rauf Yusoh berkata, antaranya adalah industri akuakultur seperti penternakan ikan dalam sangkar, menternak udang, kerang dan kepah.
“Cadangan ini akan diperhalusi mengikut kawasan supaya golongan nelayan akan terus memperolehi pendapatan,” jelas beliau.
Katanya, pembinaan pelabuhan itu mendapat persetujuan semua pihak antara kerajaan dan nelayan di Kuala Linggi, malah mereka sebahagian daripada dasar kerajaan.
“Kita (Kerajaan Negeri) mendengar keluhan dan pandangan mereka. Apabila kita dapat mentadbir semula, kita ambil maklum cara membantu mereka,” katanya kepada media selepas bertemu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) DUN Kuala Linggi, hari ini.
Hadir sama calon BN, Datuk Rosli Abdullah yang akan mempertahankan kerusi berkenaan menentang calon PH (Amanah), Muhammad Mukhlisul Mubin serta Nur Farhana Hamzah mewakili Bersama.
Mengulas mengenai calon-calon muda daripada parti lawan, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, beliau tidak melihat calon orang muda itu satu persaingan, kerana mereka dapat menimba ilmu dan pengalaman.
“Bagus mereka dapat menawarkan diri. Namun, hendak mengurus masyarakat pelbagai peringkat umur, biarlah yang lebih matang, ada pengaruh serta dikenali masyarakat setempat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ab Rauf sekali lagi menasihatkan pengundi supaya tidak tersalah membuat pilihan kerana jika terlepas, ianya payah untuk diperbetulkan.
“Biarlah tangan yang memberi undi adalah tangan yang membina sebuah jambatan masyarakat masa depan,”.
“Kalau kita silap, kita terlepas jambatan yang menghubungkan kita, selama 18 tahun seperti (kekalahan BN) Selangor,” ujarnya.
