18 NOV : 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menarik balik tindakan saman pemula bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka terhadap Kerajaan Negeri Sembilan.
Mahkamah Tinggi Seremban hari ini membenarkan permohonan itu termasuk penarikan balik prosiding tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tindakan sama, termasuk melalui semakan kehakiman.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu ketika prosiding pengurusan kes yang berlangsung secara sidang video, dengan turut membenarkan penarikan balik keseluruhan tindakan saman pemula serta permohonan di bawah bidang kuasa asal di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah menetapkan kos sebanyak RM20,000 masing-masing kepada defendan pertama dan kedua iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri serta Kerajaan Negeri Sembilan, manakala RM8,000 kepada defendan ketiga, Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Terdahulu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili kesemua plaintif memaklumkan penarikan balik saman itu dibuat susulan perkembangan semasa, termasuk peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang turut memberi kesan kepada kedudukan keseluruhan Exco.
Beliau turut memohon supaya penarikan balik berkenaan direkodkan sebagai perintah mahkamah bagi menamatkan prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Roz Mawar membangkitkan persoalan mengenai status peletakan jawatan Menteri Besar yang difahamkan masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hafarizam berkata, beliau berpandangan prosiding wajar ditangguhkan sementara menunggu perkenan Tuanku Muhriz, namun cadangan itu dibantah pihak defendan.
Peguam Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri pula memaklumkan pihaknya bersetuju dengan penarikan balik saman berkenaan dengan syarat plaintif tidak diberikan kebebasan untuk memfailkan semula tindakan sama, termasuk melalui semakan kehakiman.
Persetujuan sama turut disahkan Datuk Steven Thiru yang mewakili defendan ketiga, DKU.
Dalam pada itu, Roz Mawar ketika membuat keputusan menegaskan mahkamah tidak menghalang mana-mana pihak daripada menarik balik tindakan yang difailkan, namun pihak yang memulakan prosiding perlu bertanggungjawab terhadap tindakan berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang lima bulan sejak saman pemula itu difailkan, mahkamah telah mengendalikan pelbagai permohonan termasuk permohonan defendan ketiga untuk mencelah, selain memberikan tempoh masa bagi memastikan perkara itu dapat diputuskan dengan sewajarnya.
Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi), Datuk Zaifulbahri Idrisi (ADUN Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong), Siow Kong Choon (ADUN Chennah), Siti Nur Umaira Hasim (ADUN Labu), Datuk Mohd Asna Amin (ADUN Lenggeng), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (ADUN Sungai Lui), Suhaimizan Bizar (ADUN Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (ADUN Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (ADUN Sikamat).
Kemelut di Negeri Sembilan berlanjutan pada 3 Ogos, sehari selepas Ismail mengangkat sumpah apabila beliau dilapor menandatangani proklamasi berkait kedudukan Tuanku Muhriz ketika bertemu kumpulan Undang Yang Empat dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.
Namun, kemelut semakin memuncak apabila mesyuarat Exco pada 15 September memutuskan untuk mengiktiraf proklamasi berkenaan, termasuk pengiktirafan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Susulan perkembangan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 EXCO kerajaan negeri berkuat kuasa 20 September atas alasan mereka memungkiri sumpah taat setia kepada institusi diraja.
Keadaan itu menyaksikan Ismail meneruskan pentadbiran negeri tanpa barisan EXCO lengkap, sementara bekas anggota EXCO mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka.
Pada 10 November lalu, Ismail dan 10 EXCO dilapor mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk menarik balik pendirian dan menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz.