Ibu bapa wajib hadir ke sekolah terima bantuan RM200 anak
25 NOV : Mulai tahun depan, ibu bapa perlu hadir ke sekolah anak masing-masing untuk menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 yang disalur kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu memastikan ibu bapa turut mengambil tahu perkembangan pendidikan anak-anak.
Menurut beliau, kehadiran ibu bapa ke sekolah juga memberi ruang untuk bertemu guru bagi mendapatkan maklumat mengenai prestasi akademik, perkembangan serta pembentukan sahsiah anak-anak.
“Sebab itu saya beritahu kepada Kementerian Pendidikan (KPM), untuk tahun depan, semua anak-anak akan dapat RM200 tetapi kita minta ibu bapa datang ke sekolah.
“Kita tak serah wang itu ke rumah kerana kita nak ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat. Kalau tak datang ke sekolah…Fadhlina (Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek), jangan bagi wang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara ‘AI Temu AI’ dan Majlis Peluncuran CikguILMU oleh YTL AI Labs di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut meminta pelajar membaca sekurang-kurangnya dua judul buku sepanjang cuti sekolah akhir tahun bagi menyemai budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, amalan membaca perlu terus dipupuk meskipun pelajar kini semakin terdedah kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu, beliau meminta KPM memastikan guru, pengetua dan guru besar menggalakkan pelajar membaca bahan bersesuaian sepanjang tempoh cuti sekolah.
“Bulan Disember cuti. Saya nak minta Menteri, KP…pastikan peringatan kepada semua guru dan pengetua dan guru besar.
“Bukan tak payah bagi assignment, homework, anak-anak cuti kan. Tetapi pastikan ada kalau cuti dua bulan atau satu bulan setengah, anak-anak mesti diberi judul buku yang wajib dibaca.
“Saya minta ibu bapa yang tonton ini, tengok anak-anak yang hadir, kata dia janji pada Atuk Anwar, dia akan baca dua buku sepanjang musim cuti,” katanya.
