27 NOV : Penganalisis politik yang juga Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia pada usia 79 tahun, kira-kira jam 6 petang tadi.
Pemergian tokoh akademik itu disahkan cucunya yang memaklumkan Allahyarham menghadapi masalah jantung.
“Allahyarham dikejarkan ke hospital kerana masalah jantung dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 6 petang tadi,” katanya, dipetik BH.
Sementara itu, JUST dalam kenyataan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh berkenaan dan memaklumkan butiran lanjut mengenai urusan pengebumian akan dikongsikan sebaik sahaja tersedia.
“Dengan penuh dukacita, kami berkongsi berita pemergian Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for a Just World.
“Kami amat berdukacita atas pemergian beliau dan akan berkongsi butiran lanjut mengenai urusan pengebumian sebaik sahaja tersedia.
“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keberkatan ke atas roh beliau serta menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh.
“Ingatan dan doa kami sentiasa bersama keluarga beliau dalam saat yang sukar ini,” menurut kenyataan itu.
Chandra yang lebih dikenali dengan nama Dr Chandar merupakan antara individu penting dalam penubuhan PKR dan pernah menjawat sebagai Naib Presiden parti berkenaan.
Selain dikenali sebagai aktivis hak asasi manusia, beliau turut banyak menyumbang dalam bidang keadilan sosial, dialog antara agama serta hubungan antara peradaban.