1 JAN : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi khas Ops Tunggak di empat negeri sempadan Malaysia-Thailand mulai hari ini bagi mengesan pemandu asing yang melanggar undang-undang.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata operasi dijalankan di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan itu juga bertujuan mengesan pemandu yang mempunyai saman tertunggak
“JPJ akan mengambil tindakan undang-undang kepada kenderaan asing terutama dari Thailand menerusi ops berkenaan.
“JPJ akan menahan kenderaan asing untuk pemeriksaan dan sekiranya didapati ada saman tertunggak, pemandu akan diarah untuk melunaskan bayaran itu serta-merta sebelum boleh meneruskan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas operasi khas bersepadu sempena malam ambang Tahun Baharu 2025 di Kota Bharu, tengah malam tadi.
Muhammad Kifli berkata semua warga termasuk warga asing wajib mematuhi undang-undang negara ini.
Katanya lagi, kenderaan asing terutama dari Thailand didapati banyak melakukan kesalahan berulang.
“JPJ mahu memastikan bukan sahaja warga negara kita sendiri bahkan pemandu warga asing juga wajib mematuhi undang-undang dan membayar saman yang sudah dikeluarkan,” katanya.