23 APR : Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam tiga gempa bumi yang melanda Istanbul, Turkiye, hari ini.
Gempa bumi yang menggegarkan kawasan Laut Marmara berhampiran Daerah Silivri, Istanbul itu merekodkan kekuatan sehingga 6.2 magnitud.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan pihaknya memantau rapat situasi di sana.
Wisma Putra berkata Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul mengekalkan perhubungan rapat dengan rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berada di Turkiye dinasihatkan supaya berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul yang terletak di Polat Plaza, Sisli melalui talian +90-212 989 10 01 (waktu bekerja) atau WhatsApp +90 531 716 05 51 (luar waktu bekerja), atau e-mel ke mwistanbul@kln.gov.my.
Menurut kenyataan itu, Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan maklumat terkini jika perlu.
Menurut laporan media antarabangsa, gegaran pertama berukuran 3.9 magnitud melanda kawasan pantai daerah Silivri jam 12.13 tengah hari, waktu tempatan.
Gempa kedua berukuran 6.2 magnitud melanda kawasan sama jam 12.49 tengah hari disusuli gegaran ketiga berukuran 4.4 magnitud melanda daerah Buyukcekmece.