9 MEI : Malaysia berharap hubungan dengan negara jiran di rantau ASEAN, Asia dan seluruh benua yang dipupuk akan terus harmoni.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan hasrat itu usai berhubung dengan tiga rakan sejawatnya iaitu, Anthony Albanese (Australia), Rala Xanana Gusmão (Timor-Leste Kay) dan Paetongtarn Shinawatra (Thailand) melalui panggilan telefon pada Khamis.
Menurut Anwar, dalam perbualan telefon itu beliau dapat bertukar pandangan dan berkongsi pendapat dengan ketiga-tiga pemimpin tersebut.
“Perbualan kami terarah kepada isu semasa, global, ASEAN, kesan tarif Amerika Syarikat serta usaha berterusan dalam memperkukuh kerjasama dua hala dan serantau.
“Moga hubungan yang terjalin antara Malaysia dengan jiran-jiran di rantau ASEAN, Asia, dan seluruh benua terus harmoni dan mendapat manfaat dari sudut diplomatik, ekonomi, pelaburan dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau menjemput Albanese ke Malaysia bagi mengukuhkan persahabatan yang terjalin khususnya selepas kejayaan Perdana Menteri Australia itu mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua.
Beliau kemudiannya berbicara dengan Xanana Gusmão mengenai beberapa perkara termasuk perkembangan krisis kemanusiaan di Myanmar dan status republik itu sebagai anggota tetap ASEAN.
Mereka turut menyentuh soal kesediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini.
“Sewaktu perbualan telefon dengan rakan sejawat dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, beberapa isu melibatkan kedua-dua negara disentuh dan dikemaskini seperti rundingan Dialog Damai Selatan Thailand yang memerlukan inisiatif keamanan dan bukannya membabitkan sebarang elemen keganasan,” kata Anwar.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim
*OLEH : HANUM RAJAK