Tidak dicabar, Anwar kekal Presiden PKR

10 MEI : Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal mempertahankan jawatan Presiden PKR apabila menang tanpa bertanding pada Pemilihan PKR 2025.
Sehingga pencalonan tamat, 11.59 malam tadi, Anwar satu-satunya calon yang menamakan diri bagi jawatan itu.
Sementara itu, jawatan nombor dua parti menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dengan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Nama ketiga yang disebut-sebut untuk mencabar jawatan itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sah tidak mencalonkan diri beberapa jam sebelum pencalonan ditutup.
Bagi jawatan Naib Presiden, sebanyak 12 pencalonan diterima termasuk nama-nama besar dalam Kabinet.
Antaranya, Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri R Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi).
Selain itu turut tercalon, Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), R Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat), Dr Sathia Prakash Nadarajan (Ketua Cabang PKR Hulu Selangor), Abun Sui Anyit (Ketua Cabang PKR Hulu Rajang/Ahli Dewan Negara), Hee Loy Sian (bekas EXCO Selangor), Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi Institut Keusahawanan Negara) dan Manivanan Gowin (Ketua Cabang PKR Jempol).
Sementara Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim juga menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) selepas tidak dicabar sesiapa.
Manakala Fadhlina Sidek yang mempertahankan jawatan Ketua Wanita PKR dicabar Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei ini, diikuti rayuan bantahan (13-14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh kempen (15-22 Mei) dan pengundian pada 23 Mei.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadual berlangsung 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.