28 MEI : Pemuda UMNO mengingatkan Dapsy tanpa Barisan Nasional (BN), DAP tidak akan dapat membentuk kerajaan, hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Akmal Saleh membangkitkan perkara itu sebagai respons kepada kenyataan Dapsy yang menyifatkan UMNO bagai kacang lupakan kulit sambil menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen segera.
“Dapsy mungkin terlupa bahawa tanpa sokongan BN, belum tentu mereka mampu membentuk kerajaan hari ini.
“Jadi jangan sembang soal ‘kacang lupakan kulit’ kerana hakikatnya semua pihak tahu siapa yang membantu memastikan kestabilan politik selepas PRU lalu,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Dapsy menyifatkan tindakan UMNO Johor yang berhasrat untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bagai kacang lupakan kulit.
Selain itu, Dapsy turut mencadangkan Anwar membubarkan Parlimen serentak dengan Dewan Undangan Negeri Johor serta negeri lain jika ada pihak cenderung menikam dari belakang dan memperlekeh semangat perpaduan.
Mengulas lanjut, Akmal menggesa sayap pemuda parti komponen Kerajaan Perpaduan itu membuktikan pemimpin DAP juga menyambut cadangan pembubaran Parlimen itu dan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN.
“Dapsy pun jangan cakap sahaja di media sosial, buktikan syor Dapsy supaya Parlimen dibubarkan segera disambut oleh pemimpin kalian. Bukan setakat bubar Parlimen sahaja, malah tarik juga sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN hari ini.
“Tarik sokongan di Perak. Tarik sokongan di Pahang. Kita lawan secara gentleman dan serah kembali mandat kepada rakyat.
“Tak perlulan meroyan bila UMNO Johor bercakap soal bergerak solo. Sejak awal tidak pernah wujud sebarang perjanjian bahawa BN wajib menghadapi PRN atau pilihan raya umum (PRU) bersama Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Akmal turut mengingatkan parti rakannya itu bahawa kerajaan yang dibentuk hari ini adalah demi kestabilan negara atas titah Yang di-Pertuan Agong ketika tiada gabungan mempunyai majoriti mudah.
“Itupun hari ini ada geng kamu yang kurang ajar kata titah Tuanku sultan tidak perlu dituruti bila dah berkuasa. Itu realitinya.
“Jadi Dapsy, jangan nampak menggelabah sangatlah bila UMNO nak pergi solo kerana itulah cadangan pemuda kepada pemimpin kami sejak dari tahun lepas lagi dan pemimpin kami mendengar suara kami dan kita akan mulakan di Johor.
“Tetapi tidak tahulah kalau pemimpin DAP mendengar atau tidak suara Dapsy, jangan jadi seperti anjing menyalak bukit sahaja.
“Oh ya, kita cabar pemimpin DAP untuk keluar dari kerajaan negeri Melaka sehingga hari ini pon tidak berani, lagi nak sembang ke?
“Sekurangnya aku berani hantar surat perletakan jawatan, bukan satu tapi dua surat telah dihantar. Kamu?? Sembang sajalah. Kalau benar mahu menguji kekuatan, kita buka gelanggang. Bring it on!,” katanya.