Putrajaya-Sarawak selesai isu Petronas-PETROS secara rundingan

10 MEI : Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sepakat untuk menyelesaikan isu Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) secara rundingan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mencapai kesepakatan itu dalam pertemuan bersama kempimpinan Petronas dan PETROS di Perdana Putra pada Jumaat.
“Perdana Menteri hari ini (semalam) mempengerusikan pertemuan dengan Premier Sarawak bersama kepimpinan tertinggi Petronas dan PETROS di Perdana Putra, Putrajaya. Pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan.
“Dalam pertemuan ini, Perdana Menteri dan Premier Sarawak bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara PETRONAS dan PETROS,” menurut kenyataan itu.
Menurut PMO, langkah itu penting bagi memastikan potensi besar yang sudah dikenal pasti daripada kerjasama Petronas dan PETROS dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
“Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN.
“Perdana Menteri dan Premier Sarawak juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan,” menurut kenyataan itu lagi.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia
*OLEH : HANUM RAJAK