22 NOV : Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berang dengan kehadiran hambar perwakilan pada Konvensyen DAP Selangor hari ini, yang disifatkannya mencerminkan kurangnya komitmen terhadap parti.
Beliau menyifatkan keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana komitmen anggota terhadap parti perlu ditunjukkan tanpa mengira agenda konvensyen diadakan.
Malah, Loke memberi amaran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua kampung dan ahli majlis yang gagal menunjukkan komitmen terhadap parti berisiko tidak dipilih semula atau disingkirkan daripada senarai calon pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han diarah menyemak kehadiran ketua kampung dan ahli majlis yang dilantik, selain meminta nama ADUN yang tidak menghadiri konvensyen berkenaan diserahkan kepadanya.
“Hari ini saya nampak semangat belum cukup kuat lagi. Kehadiran tidak begitu memberangsangkan kerana tak ada pemilihan parti. Kalau (ada) pemilihan parti tak payah cakap pun, dewan penuh.
“Kalau ahli majlis tak hadir convention blacklist dia. Jangan sambung! Kalau tak ada komitmen kepada parti, tak payah bagi peluang kedua. Kalau mana satu ADUN tak hadir hari ini bagi nama kepada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor di SITC, Seksyen 14, hari ini.
Beliau berkata, cawangan DAP ditubuhkan untuk membawa perjuangan parti dan bukannya hanya menjadi platform ketika pemilihan kepimpinan.
Loke menegaskan kehadiran dalam program parti merupakan tanggungjawab asas yang perlu dipenuhi sebelum seseorang bercakap mengenai perjuangan atau mengharapkan peluang menjadi calon.
“Saya nak tegas. Saya sudah mengambil satu sikap, you suka tak suka saya, tak apalah. Saya sudah mengambil satu sikap, sebab dalam perlembagaan parti paling bagus sebab ada term limit (had penggal).
“Saya sudah dua penggal. Kalau you nak tendang saya, penggal hadapan pun tak apalah, you tendang sajalah. Saya tak peduli dah. Saya nak tegas, saya nak buat perkara yang betul,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa pemimpin yang tidak menunjukkan komitmen terhadap parti tidak akan diberi peluang pada pilihan raya akan datang.
“Kalau mana-mana orang yang tak ada komitmen kepada parti, next election (pilihan raya akan datang), you will be shown the exit door (anda akan disingkirkan),” katanya.

*Foto : FB DAP Selangor