13 MEI : Sekurang-kurangnya lapan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) disahkan maut selepas trak dinaiki terlibat nahas di di Jalan Chikus – Sungai Lampan, Teluk Intan, pagi ini.
Kemalangan maut itu melibatkan sebuah lagi lori muatan batu.
Difahamkan anggota terbabit dalam perjalanan balik ke Ipoh selepas tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Wesak, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon memaklumkan pihaknya menerima panggilan berkait kemalangan itu pada jam 8.54 pagi.
Katanya, trak terbabit membawa 15 penumpang dan pemandu.
Menurutnya, kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.
“Ketika ini bilangan yang disahkan meninggal dunia seramai lapan orang dan kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebahagian mangsa yang berjaya dikeluarkan sudah dihantar ke Hospital Teluk Intan.