17 NOV : Barisan Nasional (BN) sudah mengemukakan satu nama calon baharu Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan baginda.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, warkah mengandungi cadangan nama calon berkenaan sudah diserahkan kepada pihak istana, semalam.
Katanya, keputusan pelantikan itu diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan perkenan Tuanku Muhriz.
“Jika nama itu diterima, hanya Kebawah Duli Tuanku dan pihak istana sahaja yang boleh mengumumkannya.
“Saya selaku ketua parti, sebagai Pengerusi BN menyerahkan sepenuhnya soal budi bicara dan perkenan kepada Kebawah Duli Tuanku untuk perkenan dan juga untuk pihak istana mengumumkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Idea Putrajaya, hari ini.
Mengulas soal peletakan jawatan Ismail, Ahmad Zahid menegaskan keputusan itu bukan atas arahan parti sebaliknya dibuat atas kehendak Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh itu sendiri.
Menurutnya, Ismail juga tidak memberikan sebarang alasan khusus berhubung keputusan tersebut.
“Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin,” katanya sambil berharap tindakan peletakan jawatan itu mampu menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan secara baik.
Malam tadi, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Ahmad Zahid sudah menerima salinan surat peletakan jawatan itu bertarikh 16 November 2026 yang dihantar kepada Tuanku Muhriz.
Zambry berkata Ahmad Zahid akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar baharu untuk dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz.
Susulan itu, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan memaklumkan pihak istana masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail meskipun salinan dokumen berkenaan telah dikemukakan.
“Pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat tersebut, yang menurut YB Datuk Seri Zambry telah ditandatangani oleh Datuk Ismail Lasim,” menurut kenyataan itu.