15 MEI : Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berbaik dengan Syria dengan menarik balik sekatan ke atas negara itu rupa-rupanya mempunyai niat yang tersembunyi.
Washington memaklumkan Trump mahu pemimpin Damsyik menormalkan hubungan dengan Israel.
Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata Trump meminta Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa agar menjalin hubungan diplomatik dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham yang dimeterai beberapa negara Teluk pada 2020 semasa penggal pertama pentadbirannya.
“Trump juga mengarahkan al-Sharaa mendeportasi anggota pejuang Palestin dan mengusir kumpulan asing lain demi menjayakan perjanjian tersebut,” kata Rumah Putih lagi.
Pada Rabu, Trump bertemua al-Sharaa dengan kehadiran Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (melalui panggilan video).
Selepas pengumuman menarik balik sekatan itu dibuat, bandar-bandar utama di seluruh Damsyik dibanjiri penduduk yang meraikan khabar gembira itu.
Namun sehingga kini masih tiada maklum balas daripada pihak Damsyik berkait tuntutan Trump itu.
Al-Sharaa dilaporkan menganggap penarikan sekatan ke atas Syria itu sebagai satu permulaan usaha serius dan pelancaran perjalanan Syria moden.