22 MEI : Israel teruk dikecam komuniti antarabangsa selepas tenteranya melepaskan tembakan ke arah delegasi diplomatik yang sedang melawat kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki.
Dalam kejadian semalam itu, delegasi terdiri daripada lebih 30 wakil kerajaan pelbagai negara dan organisasi termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berada di Jenin bagi menilai kesan kemusnahan akibat kekejaman Israel sejak Januari.
Justeru itu, pihak berkuasa antarabangsa menuntut Israel memberi penjelasan terhadap tindakan itu dan siasatan menyeluruh.
Duta Israel di beberapa negara juga dipanggil bagi mennjelaskan kejadian itu.
Kementerian Luar Negeri Mexico menegaskan insiden itu melanggar Artikel 29 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik yang menetapkan kekebalan terhadap agen diplomatik.
“Semua Negara Pihak kepada Konvensyen tersebut, termasuk Israel, wajib menghormatinya,” kata Mexico.
Kanada sudah memanggil duta Israel dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mahukan penjelasan segera serta siasatan penuh terhadap insiden yang disifatkannya tidak boleh diterima sama sekali.
Denmark turut mengecam tindakan Israel itu dengan Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen dan menyatakan tembakan amaran itu tidak sepatutnya berlaku di mana-mana dan sama sekali tidak boleh diterima.
Dalam pada itu, Jerman melalui Kementerian Luar Negeri menegaskan peranan pemerhati bebas oleh diplomat di lapangan sangat penting yang tidak boleh dianggap sebagai ancaman.
Sementara Israel dalam kenyataan mempertahankan tindakan tentera dengan mendakwa ‘tembakan amaran’ dilepaskan selepas delegasi diplomatik berkenaan menyimpang daripada laluan yang dipersetujui.