24 MEI : Malaysia dijangka bakal mewujudkan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN yang pertama di ibu negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pusat itu bagi memastikan potensi dan peluang dalam blok serantau dapat diakses semua termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) belia serta wanita.
Katanya, inisiatif itu selaras tema Kepengerusian ASEAN yang diangkat Malaysia, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
“Secara ringkas, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kita juga meletakkan pertumbuhan inklusif di tengah-tengah dasar Asia Tenggara,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025 sempena Sidang Kemuncak ASEAN, hari ini.
Selain itu, katanya, ASEAN turut menyokong usahawan wanita dan belia di seluruh rantau melalui platform seperti Rangkaian Usahawan Wanita (AWEN), Majlis Usahawan Muda (AYEC), Program Pembangunan Perusahaan Sosial (ASEAN SEDP) dan Pertubuhan Belia ASEAN (AYO).
“Sudah tentu cabaran dihadapi setiap negara anggota berbeza, namun kita perlu berusaha dan memastikan penyelesaian yang merangkumi seluruh rantau walaupun ia akan mengambil masa,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata antara maklum balas ditunggu-tunggu ialah pencapaian segera untuk mewujudkan piawaian dan dasar ASEAN yang merangkumi jantina serta akses kepada kewangan.
“Sekiranya kita mewujudkan dana AS$1 bilion untuk ASEAN, bagaimana ia ditadbir untuk memastikan kesan menyeluruh, telus dan dapat diakses oleh perniagaan diterajui wanita.
“Bagaimana kita meningkatkan kemahiran secara digital, katakan sebanyak satu juta wanita di seluruh rantau menjelang 2027.
“Banyak kerja menanti kita. Satu sidang kemuncak sahaja tidak akan menyelesaikan cabaran yang dihadapi wanita, tetapi AWES menyumbang kepada usaha berharga yang diperjuangkan selama beberapa dekad,” katanya.