26 MEI : Kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi bahan api RON95 pada separuh kedua tahun ini.
Perkara itu disahkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya, mekanisme agihan subsidi bersasar itu dibuat melalui kad pengenalan, MyKad susulan mengambil kira keberkesanan bantuan tunai menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Amir Hamzah berkata pengagihan melalui MyKad dilihat lebih berkesan dan inklusif memandangkan setiap rakyat negara ini memiliki kad pengenalan masing-masing.
“Kementerian Kewangan dalam proses mewujudkan sistem di mana kita dapat gunakan MyKad menguruskan rasionalisasi subsidi.
“MoF akan terus dalam proses untuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi tetapi buat masa sekarang, yang pentingnya kita harus memastikan tahap mereka yang akan mendapat sokongan subsidi.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Kabinet berbincang mengenai pengecualian rakyat Malaysia yang mana akan layak untuk dapat subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Persidangan Akauntan Antarabangsa 2025 Institut Akauntan Malaysia (MIA), hari ini.
Selain itu, Amir Hamzah berkata tahap kelayakan penerimaan subsidi juga bakal ditingkatkan bagi meluaskan lagi bantuan.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) akan dibincangkan di peringkat bilateral dan antara ketua-ketua negara pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Melalui persidangan itu katanya, kesemua negara anggota ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China berpeluang untuk berbincang pelbagai isu serantau selain mengeratkan hubungan dan meningkatkan perdagangan.
“Ada banyak isu sekarang tetapi keutamaan dalam ASEAN adalah untuk menyelesaikan isu-isu di Myanmar…kita ada penyelesaian yang mana Malaysia berperanan penting untuk membawa balik Myanmar ke jalan yang kita semua mahukan.
“Bagi saya, kerjasama antara ASEAN dengan GCC dan China pula menyaksikan kita ada peluang untuk membina satu blok yang boleh berdagang secara bersama,” katanya.