7 MEI : Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak sesekali menunaikan ibadah haji tanpa visa.
Peringatan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.
Menurutnya, selain boleh didendan sehingga 100,000 riyal Arab Saudi dan berdepan tindakan tegas daripada pihak berkuasa Arab Saudi, perbuatan itu juga berdosa.
Katanya, ia selari pandangan dikeluarkan Muzakarah Haji Kebangsaan iaitu walaupun haji tanpa visa itu sah dari segi ibadah namun ia berdosa kerana melanggar peraturan.
“Sekiranya tertangkap, mereka boleh didenda hingga 100,000 riyal Arab Saudi dan bagi warga asing, mereka boleh dihantar pulang terus ke negara mereka.
“Mana-mana pihak yang membantu atau bersubahat juga boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan dan denda hingga 50,000 riyal Arab Saudi.
“Visa haji ini memang sangat-sangat ketat undang-undangnya, hanya mereka yang mempunyai visa haji sahaja yang boleh menunaikan haji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Inisiatif Haji Lestari terbitan Bernama TV, malam ini.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk jemaah sebagai duta kecil untuk menjaga imej Malaysia sebagai antara negara yang memiliki pengurusan dan disiplin jemaah haji terbaik di dunia.
“Malaysia telah diiktiraf sebagai negara yang mempunyai pengurusan haji terbaik di dunia. Ini menunjukkan negara kita mempunyai kayu ukur yang sangat-sangat tinggi.
“Kita tidak mahu ada satu dua kes yang menyebabkan imej negara kita tercalar. Jemaah haji kita adalah duta-duta kecil negara kita,” katanya.