9 JUN : Kerajaan MADANI akan melaksanakan semakan terhadap kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) mulai 1 Julai ini.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
MoF berkata semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sudah melalui proses libat urus bersama pihak berkepntingan khususnya persatuan industri dan ejen percukaian.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan bagi mengurangkan kesan semakan dan peluasan cukai itu kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, kerajaan mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.
“Hasil tambahan daripada penambahbaikan SST ini akan membolehkan penambahbaikan lanjut dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” katanya.
Secara amnya, semakan kadar dan peluasan skop itu merangkumi perkara seperti kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan rakyat dan kadar CJ sebanyak 5% atau 10% dikenakan ke atas barangan pilihan yang bukan keperluan asas.
Selain itu, skop kenaan CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperi sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Di mana peluasan itu disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelakkan cukai berganda serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warga Malaysia tidak dikenakan cukai.
Dalam pada itu, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan penalti akan dikenakan sehingga 31 Disember ini.

*OLEH : HANUM RAJAK