Hasil kutipan SST penting untuk pembangunan, bantuan tunai

16 JUN : Hasil kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluaskan akan digunakan untuk tujuan pembangunan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana itu juga penting untuk bantuan wang tunai untuk rakyat.
“Ada juga yang persoalkan mengenai cukai SST yang baru diperluaskan. Kenapa avocado kena cukai? Mudah. Kita bukan cukai pisang berangan di Lumut, kita cukai avocado yang diimport. Yang mampu makan mahal, maka mesti mampu kongsi sedikit beban.
“Dari situ puncanya dana untuk hospital, sekolah, pertahanan termasuk gaji penjawat awam dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada warga yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Ahad selepas Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan rasuah sambil menekankan hasil cukai mesti dikembalikan kepada rakyat.
“Saya tidak berganjak dari prinsip bahawa tidak ada kompromi terhadap rasuah dan tidak ada maaf untuk perasuah-perasuah.
“Hasil cukai mesti dikembalikan dalam bentuk pembangunan sekolah, hospital, jalan raya, pertahanan dan bantuan kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata Malaysia kini sedang bangkit dari AI ke automotif dan dari nelayan ke saintis kerana negara mahu menjadi pemain utama serta tidak mahu sekadar menjadi penonton dalam dunia yang bergerak pantas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tidak kisah digelar ‘Perdana Menteri Tandas’ demi keselesaan pelajar dan mengutamakan masalah asas rakyat.
“Hospital Manjung bakal diperluas, 863 tandas diperbaiki dan 200 yang lain sedang diperbaiki. Pembangkang panggil saya ‘Perdana Menteri Tandas’, namun apa saya kisah. Yang saya kisah adalah keselesaan anak-anak kita yang menuntut di sekolah-sekolah.
“Tak kena kalau asyik tumpu hal-hal yang besar seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) saja, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) saja, atau projek-projek besar yang lain saja sekiranya masalah asas rakyat terus dikesampingkan.
“Kadang-kadang untuk membina semula negara, kita perlu bermula dan melihat dari bawah- dari tandas sekolah hingga ke dasar ekonomi tetapi matlamat kita tetap satu yakni ‘to learn to fly again’,” katanya.
Tambahnya, mentadbir bukan hanya soal mengejar dan mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi menegakkan nilai dan prinsip manusiawi dengan cakna dan penuh keprihatinan.

*OLEH : HANUM RAJAK