2 MEI : Seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemui mati dengan 61 kesan tikaman berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah, Ketereh, semalam.
Susulan itu, polis menahan empat individu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan penahanan suspek-suspek berkenaan dan berkata permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu hari ini.
Mohd Yusoff berkata kesemua suspek ditahan dalam satu serbuan yang di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh, awal pagi tadi.
“Hasil serbuan tersebut, polis menahan tiga lelaki berusia antara 19 hingga 66 tahun serta seorang wanita berusia 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata semua individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Selain itu, ujian saringan air kencing turut mendapati kesemuanya negatif daripada pengaruh dadah.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata polis merampas dua kenderaan, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar, empat unit pelapik kaki serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebat tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.