18 JUN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat kemungkinan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther menjadi ejen negara asing.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berkait dakwaan itu, hari ini susulan kenyataan terbuka Yusoff pada 2017 yang menyokong kewujudan Israel dan menolak hak negara-negara Arab ke atas Baitulmaqdis.
Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol berkata kenyataan Yusoff itu berbahaya dan menunjukkan kemungkinan wujudnya jaringan sokongan rejim Zionis dalam kalangan rakyat negara ini.
Malah katanya, kenyataan itu juga bercanggah dengan pendirian rasmi Malaysia.
“Kami hadir untuk membuat laporan polis dan mendesak siasatan terhadap Yusoff Rawther. Adakah beliau sebenarnya ejen yang menyusup masuk ke dalam masyarakat Malaysia dengan membawa agenda asing?
“Negara itu tidak pernah kita iktiraf, malah ditolak keras oleh majoriti rakyat Malaysia atas jenayah kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Dzul berkata demikian pada sidang media sebelum membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.
Nadi Gemilang Amal antara enam NGO yang hadir bagi membuat laporan polis terhadap Yusoff.
Mereka sepakat menegaskan laporan polis itu bukan fitnah namun dibuat atas dasar mempertahankan kedaulatan negara dan menjaga sensitiviti rakyat Malaysia teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin.