Malaysia, Timor-Lester perkukuh hubungan dua hala

19 JUN : Malaysia dan Timor-Leste akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
Perkara itu disentuh dalam perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Timor-Leste, Dr Jose Ramos-Horta pada Rabu.
“Menerima kunjungan Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta di kediaman saya hari ini lantas mengukuhkan manifestasi hubungan erat antara Malaysia dan Timor-Leste.
“Perbincangan kami menjurus kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik serta menyokong aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Menurut Anwar, Malaysia komited untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam menyokong proses integrasi serantau demi kestabilan dan kemakmuran bersama.
Terdahulu, Timor-Leste dilaporkan diterima sebagai anggota ASEAN ke-11.
Perkara itu diumumkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bulan lalu yang dihoskan Malaysia.
Namun negara itu akan diterima selepas memenuhi beberapa syarat lagi yang perlu dilengkapkan dan akan diterima pada Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Timor-Leste diberikan status pemerhati pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja 2022 selepas diterima secara prinsip sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Timor-Leste yang memiliki 1.4 juta penduduk diiktiraf sebagai negara terbaharu di Asia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2002.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA