21 JUN : Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka kembali beroperasi sepenuhnya 1 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan perkara itu, hari ini pada sidang media selepas sesi pratonton media Aerotrain di Terminal 1, KLIA.
Menurutnya, ketetapan dibuat selepas perkhidmatan itu melalui beberapa siri ujian keselamatan termasuk Ujian Tindak Balas Kecemasan (ERP).
“Pelbagai ujian telah dan sedang dilaksanakan termasuk simulasi bersama pasukan keselamatan serta pasukan tindak balas kecemasan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Sekiranya semuanya berjalan lancar, Aerotrain KLIA akan kembali beroperasi bermula 1 Julai ini,” katanya.
Selepas menjalani naik taraf kira-kira tiga tahun, Anthony berkata, kapasiti Aerotrain KLIA yang memiliki tiga koc itu boleh menampung sehingga 270 orang.
“Satu lagi set tren akan dijadikan sebagai back up (simpanan) untuk waktu-waktu puncak.
“Sepanjang tempoh operasi harian dari pagi hingga malam, kedua-dua landasan akan digunakan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang,” katanya.
Menurut Anthony, perkhidmatan bas pengantara yang digunakan sebelum ini tetap diteruskan bagi menampung jumlah penumpang ketika ini.
“Perkhidmatan bas pengantara akan terus beroperasi sebagai pelan sokongan kepada sistem Aerotrain sehingga operasi berjalan lancar sepenuhnya.
“Setelah semuanya berjalan dengan baik dan stabil, pihak pengurusan akan membuat keputusan sama ada untuk menamatkan atau mengekalkan perkhidmatan bas tersebut,” katanya.