21 JUN : Iran memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak terlibat dalam serangan Israel ke atas negara itu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi campur tangan AS akan menjadi amat malang dan sangat berbahaya untuk semua pihak.
Tegasnya, Iran bersedia untuk berunding secara damai.
“Diplomasi pernah berjaya sebelum ini dan ia boleh berjaya sekali lagi. Tetapi untuk kembali kepadanya, serangan mesti dihentikan.
“Kami benar-benar bersedia untuk penyelesaian melalui rundingan, sama seperti pada 2015,” katanya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau berkata demikian menjelang Sesi ke-51 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ketegangan antara Iran dan Israel semakin meruncing dengan masing-masing berbalas serangan udara yang merosakkan pelbagai infrastruktur serta mengorbankan banyak nyawa.
Israel melancarkan serangan ke seluruh Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear menyebabkan Iran tidak berdiam diri dan menghujani langit Tel Aviv dengan puluhan peluru berpandu balistik.