30 JUN : Kerajaan akan menuntut penjelasan TikTok berhubung trend ‘PK Battle’ yang semakin membimbangkan mutakhir ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya memandang serius kebimbangan yang disuarakan ibu bapa terhadap trend itu.
Katanya, ibu bapa gusar apabila wang belanja diberikan dibelanja untuk membeli hadiah untuk pertarungan dalam ‘PK Battle’.
Justeru itu katanya, TikTok perlu mempunyai cara untuk menangani masalah yang timbul daripada aplikasinya.
“Ini (PK Battle) menjadi satu masalah yang dilaporkan media dan kami pandang secara serius memandangkan TikTok dilesenkan, maka mereka perlu tampil untuk memberi penjelasan dan menyatakan apa langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai sesi ujian liputan perkhidmatan bersama dengan penyedia perkhidmatan di Butterworth dan sekitar Pulau Pinang bagi memastikan liputan Internet stabil menjelang sambutan Hari Malaysia 2025, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan melarang kanak-kanak di bawah usia 13 tahun memiliki akaun media sosial bagi mengelakkan berlaku kemudaratan seumpama itu.
“Oleh sebab itu juga mengapa pihak kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi menegaskan anak-anak berusia bawah 13 tahun tidak boleh memiliki akaun TikTok, Instagram dan mana-mana media sosial yang lain.
“Ia kerana tidak mustahil mudah untuk mereka mengikuti trend seperti ‘PK Battle’ tanpa mereka benar-benar memahami kesan kepada diri mereka,” katanya.
Bulan lalu, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara menuntut ciri ‘PK Battle’ itu diharamkan di negara ini.
NGO berkenaan turut menuntut tindakan tegas dan segera daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Dalam pada itu, Fahmi menjangkakan sesi libat urus antara MCMC dengan akan berjalan pada minggu ini juga.
