Bakat muda corak masa depan Malaysia : PM

4 JUL : Malaysia amat bergantung kepada bakat muda untuk mencorak masa depan yang lebih cemerlang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perkara itu dalam pertemuannya dengan diaspora Malaysia di Perancis dalam rangka lawatan rasminya ke negara itu.
Menurut Anwar, pertemuan itu membuka ruang perbincangan bermakna berkait peranan anak Malaysia di sana.
“Pertemuan bersama warga Malaysia di Perancis membuka ruang perbincangan yang bermakna mengenai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
“Dalam ucapan saya, saya tekankan bahawa Malaysia amat bergantung kepada bakat muda untuk mencorak masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menasihati rakyat Malaysia di sana itu agar menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan kerana kejayaan dalam apa jua bidang bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi juga satu tanggungjawab untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Malaysia memerlukan generasi muda yang cemerlang, berprinsip dan bersedia memikul amanah besar. Jadilah agen perubahan yang akan menerajui kemajuan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Selain itu, Anwar memaklumkan beliau turut berkongsi tentang ikhtiar Kerajaan MADANI dalam melaksanakan pembaharuan menyeluruh merangkumi pertumbuhan ekonomi yang inklusif, tadbir urus yang berintegriti serta keadilan sosial yang memartabatkan setiap lapisan rakyat.
Terdahulu, Anwar dan dan delegasi negara tiba di Paris bagi memulakan lawatan rasmi atas undangan Presiden Perancis, Emmanuel Macron selepas menamatkan lawatannya di Itali.
Beliau dijadualkan bertemu Macron di Istana Élysée bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Perancis yang sedia terjalin.
Menurut Anwar, Malaysia dan Perancis juga akan meneroka potensi kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik seperti perdagangan, pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan dan hubungan antara rakyat.
Anwar dijadual menyertai Sesi Meja Bulat bersama tokoh industri utama Perancis bagi memperluas peluang pelaburan dan perdagangan selain menyampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne.

*OLEH : HANUM RAJAK