Kerajaan pertimbang sekat lambakan produk murah dari China
25 NOV : Kerajaan mempertimbangkan peraturan lebih ketat bagi mengekang lambakan barangan murah menerusi platform e-dagang antarabangsa, khususnya dari China yang menjejaskan kelangsungan syarikat kecil tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jemaah menteri susulan kebimbangan terhadap kesan kemasukan produk asing secara berlebihan kepada ekonomi negara dan perniagaan tempatan.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan langkah berkenaan bukan bertujuan menutup pasaran import, sebaliknya memastikan perdagangan antarabangsa berlangsung secara adil tanpa menjejaskan pemain industri tempatan.
“Apa yang kita mahu itu pelaburan, perdagangan, bukan lambakan barang-barang yang murah dan ini membunuh beberapa syarikat kecil di lapangan.
“Jadi, kita sudah mencapai persetujuan dalam jemaah menteri untuk mengambil langkah-langkah mengekang sedikit…tidak menyekat sama sekali kerana ini bertentangan dengan dasar kita untuk membolehkan import yang bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan..’, malam ini.
Dalam pada itu, Anwar turut membangkitkan isu kawal selia produk yang dijual menerusi platform e-dagang antarabangsa termasuk aspek kualiti, keselamatan kesihatan, penipuan, etika pengiklanan dan pensijilan halal.
Menurutnya, syarikat asing yang ingin memasuki pasaran tempatan perlu memenuhi syarat tertentu, termasuk bekerjasama dengan syarikat tempatan atau memberikan jaminan terhadap mutu serta keselamatan produk yang dipasarkan.
“Sebab itu sekarang, kita mula memberikan beberapa sekatan. Kita akan beri peluang mereka masuk dengan syarat ada syarikat-syarikat tempatan yang bersama ataupun dengan jaminan mutunya, kesihatannya dan juga kalau sebut halal, mesti harus dijamin halal,” katanya.
Anwar berkata, isu lambakan produk asing itu turut dibangkitkan kepada kepimpinan China dalam beberapa siri lawatannya ke negara berkenaan.
Malah, Presiden China, Xi Jinping menyatakan kesediaan untuk membuka ruang lebih luas bagi meningkatkan eksport barangan Malaysia ke negara itu.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan sehingga membeli barangan yang tidak diperlukan atau belum dipastikan kualitinya.
Menurut Anwar, kerajaan juga bertanggungjawab memantau pengiklanan, memastikan mutu produk terjamin serta meningkatkan kesedaran pengguna supaya membuat pembelian berdasarkan keperluan dan kemampuan kewangan.
Beliau berkata, tabiat berbelanja melebihi kemampuan boleh menyebabkan pengguna menanggung hutang yang tinggi.
“Kalau tidak, pendapatan dia kecil, barang yang dia beli itu banyak, jadi akan mengundang tanggungan hutang-hutang yang tinggi,” katanya.
