4 JUL : Rusia secara rasmi mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan yang ditadbir Taliban sekali gus menjadikannya negara pertama berbuat demikian.
Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan mengumumkan penerimaan watikah duta baharu Afghanistan ke Moscow.
Menurut kementerian itu, Moscow melihat prospek yang baik untuk membangunkan hubungan dua hala dan akan terus menyokong Kabul dalam aspek keselamatan, memerangi keganasan serta jenayah berkaitan dadah.
“Rusia juga melihat potensi besar dalam bidang perdagangan dan ekonomi, khususnya dalam sektor tenaga, pengangkutan, pertanian dan infrastruktur,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kabul melalui Menteri Luarnya, Amir Khan Muttaqi menyifatkan langkah berani Rusia itu sebagai satu tindakan yang amat dihargai kerajaan Taliban.
Selepas kerajaan Afghanistan yang dipengaruhi Amerika Syarikat (AS) terkubur pada 2021, Taliban mentadbir negara itu namun sehingga kini, tiada negara lain yang secara rasmi mengiktiraf pentadbirannya.
Setakat ini, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Uzbekistan dan Pakistan menghantar duta masing-masing ke Kabul.
Tindakan Rusia itu dijangka akan menarik perhatian Washington yang sebelum ini membekukan berbilion dolar aset bank pusat Afghanistan hingga menyebabkan sektor perbankan negara itu terputus daripada sistem kewangan antarabangsa.