4 JUL : Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kegiatan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang aktif di negara ini sejak setahun lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata Malaysia juga tidak dijadikan transit atau sasaran serangan.
“Setakat ini, tiada penglibatan langsung rakyat kita. Kumpulan ini beroperasi secara tertutup melalui kumpulan WhatsApp dan Telegram melibatkan warga Bangladesh yang bekerja di sini.
“PDRM sentiasa memastikan Malaysia tidak dijadikan tapak subversif bagi penyebaran elemen radikal, terutamanya melibatkan warga asing yang menyusup ke dalam komuniti migran dan masyarakat umum,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Bangladesh dan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mengesan rangkaian kumpulan itu yang lebih luas.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata kumpulan itu menyasarkan warga Bangladesh yang memasuki Malaysia untuk bekerja khususnya dalam sektor buruh seperti kilang, tapak pembinaan dan perkhidmatan.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan 36 warga Bangladesh disyaki terbabit dalam gerakan militan berasaskan fahaman ekstremis Islamic State (IS) ditahan dalam operasi besar-besaran.
Menurut Saifuddin, kumpulan itu hanya terkait dengan keganasan dan mempunyai motif untuk menjatuhkan kerajaan di negara asal mereka.