21 MEI: Amerika Syarikat (AS) menafikan ada campur tangan negara itu dalam keputusan syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace yang membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu, Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.
Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, David H Gamble Jr memaklumkan Washington menyokong perolehan keupayaan peluru berpandu untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.
Katanya, Washington melihat ia satu usaha yang baik untuk menangani ancaman serantau dan melindungi kedaulatannya.
“AS kekal komited terhadap hubungan pertahanan serta keselamatan yang kukuh dengan Malaysia dan mempertingkatkannya melalui memorandum persefahaman kerjasama pertahanan, 14 latihan dua hala dan pelbagai hala secara berkala, pembangunan profesional, serta bantuan keselamatan maritim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Norway membatalkan permit eksport bagi sistem NSM yang ditempah Malaysia sejak 2018 atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Terdapat laporan media yang mengaitkan AS dalam keputusan Norway itu.
Selasa lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan Malaysia secara rasmi menghantar notis tuntutan lebih RM1 bilion kepada syarikat pertahanan Norway itu susulan pelanggaran kontrak.