5 JUL : UMNO-Barisan Nasional (BN) yakin dapat merampas kembali negeri dikuasai pembangkang pada pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata separuh daripada pengundi di Kedah, Perlis dan Terengganu masih menyokong UMNO dengan sebahagian lagi pengundi atas pagar.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berharap ahli partinya tidak akan berputus asa untuk mengembalikan sokongan rakyat.
“Kalau dulu kita kalah, selepas ini tidak mustahil boleh menang, tiga negeri adalah negeri goyah.
“Separuh penduduk menyokong kita, ada di tengah-tengah (atas pagar).
“Saya harap jentera parti terus berusaha bersungguh-sungguh. Turun padang, selesaikan masalah rakyat, ziarah kasih dan ziarah mesra.
“Ini semua akan mengingatkan rakyat kepada jasa UMNO dan BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Langkawi, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan turut yakin rekod perkhidmatan dan prestasi cemerlang UMNO-BN sejak dulu masih memberi kesan besar dalam kalangan rakyat dan mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula parti.
Katanya, rakyat akan kembali menyokong UMNO jika rakyat di ketiga-tiga negeri tersebut tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).